KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP menyarankan Pakatan Harapan (PH) membuat jemputan rasmi kepada semua parti pembangkang untuk memperkasakan sokongan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hannah Yeoh (Segambut) berkata, antara parti yang perlu diajak menyertai PH ialah Parti Warisan Sabah (Warisan), Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).
“Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu, Malaysia terpaksa berdepan dengan krisis kepimpinan negara.
“Biarpun PH dan pembangkang menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan, namun jumlah 105 sokongan yang dimiliki masih tidak mencukupi.
“Justeru, PH perlu mengekal dan memperkasakan sokongan yang telah diperolehi daripada parti pembangkang yang lain dan kami menyarankan PH segera membuat jemputan rasmi kepada semua parti pembangkang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut dikeluarkan bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut Hannah, jumlah sokongan 105 Ahli Parlimen pembangkang yang dibuktikan pada 18 Ogos lalu perlu dikekal dan diperkemaskan lagi dalam bentuk persefahaman lebih formal menuju PRU akan datang.
Langkah itu, katanya, bertepatan dengan hasrat dan pendirian yang telah dinyatakan PH untuk membina kerjasama di kalangan parti pembangkang mengikut kerangka ‘Khemah Besar’.
Ujarnya, kebersamaan itu perlu diikat kemas supaya sokongan padu dan kekuatan 105 dapat meyakinkan rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bahawa PH merupakan pilihan paling tepat untuk memimpin negara. – MalaysiaGazette
Tapi DAP mesti jadi ketua meh!!! Then baru okay meh!!