Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu untuk melakukan perubahan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, mereka mahukan perubahan itu berlaku supaya negara ini terlepas daripada ancaman pandemik Covid-19 yang semakin memburuk.

Selain itu, mantan Timbalan Perdana Menteri itu juga mengingatkan kerajaan baharu kerana kegagalan pentadbiran terdahulu wajar dijadikan sempadan kerana melaksanakan beberapa dasar yang tidak memberi kesan kepada rakyat dan negara.

“Antara pelaksanaan itu ialah membuat keputusan populis yang membahayakan dengan memberi terlalu banyak kelonggaran sebelum negara mencapai imuniti kelompok, sekali gus mendedahkan rakyat kepada wabak yang masih berleluasa.

“Mereka membuka sekolah ketika kes jangkitan sedang tinggi, yang meletakkan murid, pelajar dan guru dalam bahaya.

“Mereka juga memberi kelonggaran kepada pengembara dari luar negara menjalani kuarantin di rumah ketika dunia berdepan ancaman pelbagai varian baharu Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan terdahulu juga menunjukkan sikap berat sebelah dalam pelaksanaan SOP seperti menutup sektor kurang berisiko, tetapi sektor yang menyumbang kepada kluster tertinggi dibenarkan beroperasi.

Kata beliau, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak bersungguh-sungguh akhirnya menyebabkan kadar jangkitan bertambah parah.

“Ditambah pula tindakan kerajaan menerusi pihak berkuasa mengenakan kadar kompaun yang tidak munasabah ke atas rakyat. Kompaun bersifat mendidik bukan menghukum.

“Mereka juga menggunakan polisi try and error sehingga mengundang flip flop mengelirukan dan menyusahkan rakyat,” katanya.

Daripada segi bantuan, beliau menjelaskan, ianya bersifat menguntungkan pihak ketiga seperti pemberian moratorium pinjaman bersifat refinance iaitu  menguntungkan di pemiutang atau banker jaga banker.

Jelasnya, sebahagian bantuan yang diumumkan pula bersifat terakru, sedangkan bantuan itu diperlukan sekarang, malah kebenaran pengeluaran wang KWSP yang tidak menyeluruh dan gagal membantu rakyat secara total.

Mengenai kegagalan pentadbiran pula, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberitahu, kerajaan telah menggantung demokrasi dengan menyekat persidangan Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara dan saluran rasmi suara rakyat.

Mereka, katanya, menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta membelakangi Perlembagaan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Perasuah penyeleweng nk tunjuk pandai.. Hang pandai tera mana pun, kalau jenis perasuah penyeleweng tu tk ada aku nk hormat la.
    Perasuah adalah musuh negara dan pengkhianat rakyat.

  2. Jangan lantik sorg pun dr kabinet yg lps lebih² lg yg dr ppbm, semua hampeh x blh pakai.buat ngabeh boreh yo.

Comments are closed.