Gambar hiasan

KEPALA BATAS – Seorang pekerja swasta di Mak Mandin, dekat sini berputih mata selepas wang simpanan wanita itu sebanyak RM70,000 lesap kerana menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang mendakwa dia terlibat dengan pengubahan wang haram, dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 49 tahun itu mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa pegawai daripada Telekom Malaysia dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu lain yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Negeri Sembilan dan dimaklumkan oleh ‘pegawai’ tersebut  bahawa dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

“Wanita itu yang panik telah mengikut arahan suspek termasuk tidak memberitahu sesiapa dan dia kemudian diminta menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik mangsa memberikan maklumat tersebut kepada suspek, wanita itu mendapati wang di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan dan pemeriksaan awal dipercayai transaksi tersebut dilakukan oleh sindiket Macau Scam.

Beliau berkata, wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik akaun digunakan sindiket berkenaan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa. – Bernama