Pihak polis melakukan siasatan di lokasi seorang penternak lembu mati ditembak Bukit Selambau semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang penternak lembu mati akibat ditembak dan ditikam dalam satu kejadian di tepi jalan Kongsi 14, Bukit Selambau di sini semalam.

Kejadian pukul 8 malam itu berlaku ketika lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Difahamkan, mangsa ditemui tiga kilometer dari lokasi motosikalnya dijumpai.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menenerima maklumat berhubung kejadian pukulada jam 11 malam memaklumkan mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tembak di kawasan tersebut.

Adzli.

Jelas beliau, berdasarkan kenyataan saksi, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah sebelum mereka mendapati mayat itu merupakan ipar mereka.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka di dada mangsa dipercayai akibat ditikam dan kesan tembakan di belakang badan.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut membawa kepada penemuan kelonsong peluru yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adzli, hasil semakan lanjut mendapati mangsa mempunyai lima rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan proses bedah siasat dijangka esok,” ujar Adzli.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. – MalaysiaGazette