Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Selangor tidak menolak kemungkinan kelewatan sehingga tiga bulan bekalan vaksin antara punca utama jumlah kematian tinggi dalam kalangan golongan muda di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kelewatan menghalang pihaknya melaksanakan program vaksinasi Covid-19 dimulakan lebih awal susulan pembelian vaksin daripada kerajaan Pusat hanya dibuat pada Februari tahun ini.

“Memang betul, kita sudah membayar untuk vaksin seawal Februari 2021 dan sepatutnya kita mendapat bekalan yang kita tempah 2.5 juta dos dan memang sudah diperuntukkan dan memang sudah ada di dalam simpanannya (pihak ketiga).

“Namun kita tidak dibenarkan lagi atau pembekal tidak dibenarkan untuk membekalkan kepada kita selagi program pusat (PICK) tidak habis, selagi itu tidak dibenarkan.

“Jadi, vaksin kita hanya dilepaskan pada Jun 2021, kita sepatutnya mula lebih awal sebenarnya lagi dan memang kerajaan negeri merancang hari itu apabila kita mengetahui fasa 1 dan fasa 2 dan kita tahu fasa 3 sangat lambat.

“Kerajaan Pusat memulakan vaksin dengan petugas barisan hadapan, golongan berisiko tinggi dan warga emas sedangkan orang muda dan pekerja tak dapat.

“Ini saya nak sebut mungkin takdir tapi saya memikirkan sekiranya kita dapat mulakan awal dulu, orang muda boleh terima pada kadar yang awal dan mungkin sekarang ini kita boleh mengurangkan kadar kematian dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San (DAP) yang bertanya sejauh mana kelewatan pembekalan vaksin Covid-19 ke Selangor berpunca daripada pihak ketiga.

Sementara itu, kerajaan negeri juga telah menerima sebanyak 7,499,702 dos vaksin daripada pelbagai jenis setakat 23 Ogos lalu hingga sekarang.

“Ini termasuk daripada Comirnaty dari Pfizer berjumlah 3,364,920 dos, Coronavac atau Sinovac sebanyak 3,874,980 dos dan AstraZeneca sebanyak 259,800 dos,” katanya.

Jelasnya, dari jumlah itu, sebanyak 3,794,800 dos diterima kerajaan negeri pada Julai lalu dan merupakan pembekalan vaksin Covid-19 paling tinggi berbanding bulan lain.

“Paling sikit kita terima pada Februari iaitu 52,650 dos Pfizer; Mac (234,990), April (158,770), Mei (327,570), Jun (855,900) dan Ogos hingga kini (2,547,320),” katanya lagi. – MalaysiaGazette