Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meraikan cadangan 114 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Bagaimanapun, menurut Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, untuk NGO itu menyerahkan memorandum pengesyoran itu kepada Yang di-Pertuan Agong dianggap sebagai tidak kena pada masa dan ketikanya.

Kata beliau, berpolitik dengan mencadangkan jalan penyelesaian itu baik, tetapi tunggulah masa yang sesuai bukan selepas beberapa hari Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri kesembilan.

Menurutnya, tindakan menyokong atau menamakan Tun Dr. Mahathir ketika ini seolah-olah tidak percaya dengan kebolehan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon sebagai perdana menteri yang baru dilantik.

“Pada masa sama, tindakan itu ibarat menidakkan dan menghina mandat Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang telah dibuat sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Pada ketika ini rakyat wajar beri ruang pada perdana menteri baharu untuk menunjukkan potensi dan kemampuannya.

“Biar beliau melalui kebijaksanaannya mengatur atau mencadang untuk mewujudkan apa jua jawatankuasa bersesuaian dengan keperluan kabinetnya nanti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Reset Malaysia, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin yang mewakili 114 NGO dilaporkan berkata, gabungan itu mengesyorkan Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Pengerusi MPN.

Katanya, MPN perlu diterajui pemimpin berpengalaman dalam menangani krisis negara, selain diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukan perdana menteri bagi mengelak campur tangan politik.

Justeru, beliau berharap Yang di-Pertuan Agong mempertimbang, meluluskan dan menyokong penubuhan majlis untuk diletakkan di bawah baginda.

Menurut Nasrul Ali Hasan, menggesa Yang di-Pertuan Agong melantik individu lain bagi mengurus proses pemulihan negara dari penularan wabak Covid-19 kebajikan rakyat dan kejatuhan ekonomi akan mewujudkan dua ketua dengan kuasa berbeza untuk satu tujuan yang sama.

Negara ketika ini, tegasnya, tidak perlukan dua nakhoda dalam satu kapal yang menuju perjalanan sama.

Jika MPN diwujudkan dengan melantik seorang ketua lain, keadaan akan jadi haru biru apabila SOP atau apa jua dasar diperkenalkan bertindan atau tidak selaras antara satu sama lain.

“Cukuplah rakyat sebelum ini celaru dengan SOP separuh masak oleh satu kepimpinan kerajaan, sekarang nak pula wujudkan dua kepala urus perkara yang sama.

“Kita tidak setuju cadangan ini diteruskan kerana dengan kedudukan kewangan negara pada ketika ini yang membimbangkan, kerajaan tidak boleh berbelanja sewenangnya.

“Ini kerana apabila jawatankuasa ditambah, banyak elaun khas atau peruntukan perlu dikeluarkan dan ianya bukan amaun yang sedikit, sedangkan peruntukan tersebut boleh lebih digunapakai bagi membantu kebajikan rakyat,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Wira Putra berpendapat jika mahu mencalonkan pemimpin berintegriti dan tersohor hingga peringkat antarabangsa, bukan Tun Dr. Mahathir seorang sahaja yang boleh dicadangkan.

Malah, ramai lagi pemimpin lain berpengalaman dan mempunyai rangkaian dalam dan luar negara yang baik bagi memulihkan negara.

“Cukuplah jadi pak turut dan main wayang untuk menjaga kepentingan politik atau peribadi orang tertentu. Masih ramai pemimpin bersih, berintegriti dan lebih muda boleh diangkat bagi membantu urusan pemulihan negara.

“Ini kerana, negara juga perlukan pemimpin bertenaga dan mempunyai kudrat yang baik bagi mengurus proses pemulihan ini.

“Pada pemimpin senior, pendapat dan nasihat mereka amat diperlukan dan perlu disatukan jika mahukan negara Malaysia segera keluar dari krisis ini sesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast