Kastam berjaya mematahkan rokok seludup tidak bercukai di pelabuhan klang dalam kejadian 29 Julai lalu.gambar ihsan Kastam

KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket penyeludupan rokok putih yang aktif Lembah Klang selepas merampas sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan rokok putih itu melibatkan nilai termasuk duti serta cukai yang dianggarkan lebih RM6 juta.

“Operasi khas oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit III (LTA Kuala Lumpur) telah dilaksanakan sebelum berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih berjenama John D-Blend yang merupakan dagangan larangan dengan penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Semakan dan pemeriksaan lanjut mendapati kontena tersebut telah diikrar palsu sebagai ‘Garments’ bagi mengelakkan rokok seluduo tidak bercukai itu dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, jumlah anggaran rampasan membabitkan 9 juta batang rokok dianggarkan sebanyak RM900,000 dan duti/cukai import sebanyak RM 6.03 juta.

Menurutnya, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette