Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya.

KUALA LUMPUR – Barisan jemaah menteri yang bakal dilantik dalam Kerajaan Persekutuan hendaklah dalam kalangan tokoh pemimpin yang berwibawa serta mempunyai fungsi efektif untuk membantu Perdana Menteri.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya menyarankan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik tokoh-tokoh terbaik yang mempunyai ciri-ciri cekap, amanah dan bersih daripada sebarang skandal serta tidak terpalit dengan sebarang kes mahkamah.

Katanya, ia termasuk tidak terlibat dengan masalah keruntuhan akhlak dan moral yang boleh memudaratkan kedudukan integriti Jemaah menteri itu sendiri.

“Malah, seorang anggota jemaah menteri juga mestilah dari kalangan mereka yang mempunyai kesedaran beragama yang tinggi.

“Sekiranya perdana menteri benar-benar mahu melakukan satu anjakan paradigma dalam pentadbiran negara dan melakar sejarah baharu maka, beliau perlu bertindak bijak, tegas dan meletakkan piawaian tinggi bagi seseorang mejawat jawatan menteri di dalam Kabinetnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, untuk kekal ditampuk kepimpinan dan memperolehi kepercayaan rakyat, perdana menteri mestilah dilihat perlu menjadi seorang pemimpin yang dibantu oleh jemaah menteri berwibawa serta berintegriti tinggi.

Ujarnya, Pembela berharap kerajaan ini dapat terus kekal mentadbor negara tanpa sebarang gangguan propaganda politik oleh mana-mana pihak sehingga PRU-15.

Tambahnya, negara tidak mampu menghadapi satu lagi perubahan pimpinan dalam masa terdekat ini dan yang lebih penting adalah mendapat bantuan Allah di saat getir ini.

Dalam pada itu beliau turut berharap agar pelantikan anggota Kabinet baharu dipercepatkan bagi menyusun perancangan drastik untuk mennangi pandemik Covid-19 yang merupakan perkara paling utama.

Katanya lagi, menteri yang dilantik juga perlu memainkan peranannya untuk merangsang semula ekonomi negara serta mengembalikan kesejahteraan sosial rakyat. – MalaysiaGazette