KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 bukan sahaja menimbulkan krisis kesihatan dan ekonomi, malah turut mengheret kepada permasalahan rumah tangga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, laporan sebuah media mengenai kes perceraian orang Islam sejak pandemik Covid-19 dari Januari 2020 hingga Jun lalu melonjak kepada 71,806 kes.
Kata beliau, angka itu amat membimbangkan dan perlu diurus dengan baik oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama.
“Kebiasaannya faktor ekonomi akibat kehilangan pendapatan boleh membawa kepada perceraian dan keadaan ini boleh meningkatkan masalah tekanan hidup yang sedang dihadapi rakyat hari ini.
“Walaupun perceraian diizinkan dalam Islam, namun kesan sosio-ekonomi kepada keluarga terlibat yang membimbangkan kerana memberi kesan buruk kepada anak-anak.
“Jika perceraian tidak diuruskan dengan baik dan bersefahaman, kebajikan anak-anak boleh terabai dari sudut nafkah, tumpuan pendidikan yang terjejas dan kesan psikologi serta pemikiran anak-anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, sebuah media melaporkan Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Syarie Malaysia, Abdul Fattah Kamaruddin sebagai berkata, dari jumlah itu bermakna purata 132 pasangan suami isteri berpisah setiap hari.
Beliau dilaporkan berkata, punca utama perceraian itu adalah masalah kewangan.
Menurut Faiz, anak-anak yang dahagakan kasih sayang kedua ibu bapa akan tertekan jika terpaksa bergilir setiap hujung minggu untuk bersama ibu atau bapa mereka dan kesan lebih meruncing jika ada pasangan mengabaikan anak-anak.
Katanya, lonjakan kes perceraian itu akan menjejaskan sosio-ekonomi orang Melayu kerana pasangan yang diceraikan terutama ibu tunggal terpaksa bekerja untuk menampung keperluan keluarga dan menjejaskan tumpuan kepada anak di rumah.
“Jika kebajikan anak terabai terutama pendidikan, ia akan menjejaskan pembangunan modal insan anak-anak Melayu yang berkualiti bagi mengharungi kepesatan pembangunan negara.
“Justeru, badan berkuasa dan institusi Islam seperti Pusat Zakat, Baitulmal dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) perlu mengkaji bantuan atau menetapkan satu metrik baharu untuk memastikan kebajikan anak terjamin terutama dari sudut perbelanjaan harian dan pendidikan.
“Kementerian Wanita dan Keluarga perlu mengambil serius masalah perceraian ini dan perlu mengadakan pelbagai program yang boleh menyedarkan pasangan mengenai impak perceraian,” katanya.
Beliau berkata, bagi wanita yang bercerai, tuntutan terhadap bekas suami boleh difailkan di Mahkamah Syariah di daerah masing-masing.
Tuntutan itu melibatkan tuntutan nafkah iddah (tiga bulan), tuntutan mut’ah (pampasan perceraian), tunggakan nafkah (jika tiada nafkah ketika perkahwinan), nafkah anak dan harta sepencarian sepertimana termaktub dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan hukum syarak.
Menurut Faiz, penyelesaian baik dan bersefahaman antara pasangan pasca perceraian amat penting supaya kehidupan diteruskan dengan tersusun.
“Bagi yang tidak mampu, pasangan bercerai boleh mendapatkan khidmat guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Wisma Persekutuan.
“Namun, masalah yang sering menghantui pasangan bercerai adalah kegagalan bekas suami untuk membayar tuntutan setelah keputusan dan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah.
“Masalah ini perlu diselesaikan di peringkat dasar oleh kerajaan di mana undang-undang yang lebih berkesan dan praktikal perlu digubal supaya kepentingan wanita dan kanak-kanak dalam negara ini terus terbela,” katanya. – MalaysiaGazette