Kredit Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al- Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula jam 11.00 pagi ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu susulan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Istana Negara dalam hantaran di Facebook memaklumkan, sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu.

Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada erdana Menteri di Istana Abdulaziz. – MalaysiaGazette