Allahyarham Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Allahyarham yang berkhidmat selama dua penggal pada 1999 hingga 2004 dan 2008 hingga 2013 menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai, Kelantan.

Sebelum dipilih sebagai ADUN Melor, Allahyarham Wan Ismail bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berita itu dimaklumkan kepada Pas Kelantan oleh anaknya, Wan Abdul Hakim.

“Saya dan keluarga memohon sahabat semua mendoakan jenazah ayahanda kami dipermudahkan segala urusannya yang akan ditempuhi di alam sana.

“Semoga ayahanda kami tergolong dalam golongan yang Allah redha dan diletakkan bersama para anbiya, syuhada dan para solihin,” katanya menerusi catatan di laman sosialnya.

Allahyarham Wan Ismail ketika hayatnya, pernah bekerja sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, sebelum kembali ke Kelantan dan berkhidmat di Pejabat Menteri Besar.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama para solihin.

Sebelum ini tular di media sosial Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Assabiqun Kelantan dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke wad untuk rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast