KUALA LUMPUR – Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan 12 pendatang asing memasuki negara ini secara haram.
Kumpulan yang melibatkan warganegara Indonesia itu ditangkap antara jam 5.30 hingga 8 pagi ini, dalam Op Benteng kawasan tanggungjawab 7 Briged.
Menurut kenyataan dari Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), kira-kira jam 2.30 awal pagi tadi, pasukan 7 Briged menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang mengesan pergerakan bot mencurigakan melalui Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).
Katanya, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin (PPM) yang turut melaksanakan Operasi Bersepadu telah menjejaki bot tersebut serta mendapati telah mendarat di tepi pantai Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Johor.
“Hasil penjejakan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) pada jam 5.30 pagi, telah mengesan dan menangkap empat pendatang asing yang bersembunyi sekitar kawasan tersebut.
“Seterusnya pada jam 8 pagi, tujuh lagi pendatang asing yang berada di sekitar kawasan tersebut, ditangkap.
“Pada jam 9.30 pagi ini, seorang lagi pendatang asing ditahan hasil tinjauan yang Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semua 12 pendatang asing tanpa izin itu terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita berusia antara 20 hingga 51 tahun dan dipercayai baharu saja tiba ke negara ini melalui jalan tidak sah.
Nilai rampasan keseluruhan ke atas kumpulan itu berjumlah RM3,837.68 melibatkan matawang Indonesia IDR 6,430,500.00 (RM1,871.68), selain tujuh telefon bimbit.
Semua mereka ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Setia Tropika, Kempas.
Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
Menurut Markas 3 Divisyen, tangkapan itu adalah kejayaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Maritim Malaysia, Polis Marin.
Katanya, pasukan itu meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki pendatang asing di sekitar kawasan tangkapan.
“ATM akan sentiasa bersedia mengawal sebilang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara.
“Kerjasama agensi dalam Op Benteng ini akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti menyalahi undang-undang,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette