Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Malaysia mampu muncul sebagai Harimau Asia dan menjadi negara contoh kepada negara lain dengan syarat perpecahan dalam kalangan masyarakat terutama Melayu serta Bumiputera perlu ditangani terlebih dahulu.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ekonomi negara pernah berada pada tahap membanggakan pada sekitar awal 1980-an hingga pertengahan 1990-an.

Katanya, diharap sambutan Hari Kebangsaan 2021 dengan tema Malaysia Prihatin mampu menaikkan semangat warga Malaysia untuk berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kecemerlangan negara seperti mana yang pernah dilalui sebelum ini.

“Malaysia sebuah negara yang sangat luar biasa dan unik kerana kepelbagaian komposisi populasinya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan pelbagai bangsa lain.

“Komposisi ini sangat unik berbanding negara lain kerana kita sangat berbeza dalam pelbagai aspek terutama budaya, agama dan adat resam, namun tetap mampu untuk menonjolkan keunikan kepada dunia apabila berjaya mengekalkan keharmonian yang dikecapi selama 64 tahun merdeka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, teori peradaban manusia pernah memperlihatkan sesebuah ketamadunan hancur bukan disebabkan orang luar, tetapi dek kerana pergolakan dalaman bangsa itu sendiri.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, sekiranya Malaysia mahu muncul sebagai negara contoh, perpaduan ialah kuncinya dan ia perlu diperkukuhkan lagi.

Katanya, perpaduan antara kaum sangat diperlukan, namun perpaduan dalam kalangan Melayu dan Bumiputera sangat signifikan kerana menjadi ‘tiang seri’ atau ‘pasak’ kepada kecemerlangan, kemakmuran dan kestabilan dalam negara.

“Jadi, disarankan supaya umat Melayu dan Bumiputera merapatkan saf mencari titik persamaan agar perpaduan yang telah wujud sejak merdeka semakin hari semakin utuh agar musuh tidak boleh masuk dengan begitu mudah.

“Kestabilan politik akan disusuli oleh kestabilan ekonomi, seterusnya kejayaan itu nanti bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan imej Malaysia selaku negara berpendapatan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette