Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melepaskan kenderaan yang membawa barangan bantuan bagi Misi Bantuan UMNO ke Kedah ketika di Sri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ranhill Holdings Bhd menyumbang sebanyak RM500,000 kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, wang yang disumbangkan diguna untuk membeli barangan berupa makanan, tilam dan juga bantuan untuk memperbaiki rumah-rumah mangsa yang rosak akibat bencana tersebut.

Katanya, UMNO mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Holdings, Tan Sri Hamdan Mohamad atas inisiatif untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat kejadian itu.

“Rombongannya sudah pergi dan hari ini ada lagi rombongan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah, Jerai dan Merbok khususnya.

“Walaupun ada banjir di tempat lain seperti di Nibong Tebal dan Bagan Serai…cuma banjir di Jerai ini ia berbeza. Saya dah pergi pada hari Ahad lepas, kesan banjir ini bukan biasa kerana ia  melibatkan lumpur dan pasir serta memerlukan masa beberapa hari baru selesai (dibersihkan).

“Sehingga hari ini pun, ada banyak rumah-rumah yang masih belum dibersihkan…belum lagi rumah-rumah yang rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Misi Bantuan Bencana di Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UKNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Mewakili Pemuda UMNO, Asyraf berkata, sebanyak 18 buah kenderaan pelbagai guna (SUV) digunakan untuk membawa barang-barang dalam misi bantuan yang berlepas petang ini.

Katanya, disebabkan banyak tenaga kerja diperlukan semua ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Kedah digerakkan bagi membantu misi bantuan di sana.

“Terima kasih kami ucapkan kepada Ranhill atas keprihatinan untuk memberi sumbangan ini. Sumbangan turut digunakan untuk memperbaiki paip air yang rosak di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu Noraini berkata, kira-kira 300 ahli Wanita yang menjadi sukarelawan dikerahkan untuk menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.

Katanya, mereka bertindak membersihkan kediaman mangsa-mangsa dan semua itu dilakukan secara bergotong royong.

Sementara itu, Zahida memberitahu, Puteri tidak ketinggalan untuk turut membantu sejak dari fasa pertama kejadian banjir di negeri itu.

“Kita akan pergi malam ini, esok dan lusa juga untuk sama-sama membantu apa sahaja yang diperlukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast