KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Selalu dibenarkan pulang semalam.
Presiden UMNO itu menerusi laman Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang menjaga serta merawatnya dengan begitu baik dan mesra.
“Terima kasih juga kepada semua yang mengambil berat dan sentiasa bertanya khabar mengenai diri saya. Syukur, Alhamdulillah dengan izin dan inayah-Nya saya telah dibenarkan discaj oleh pihak hospital semalam.
“Terima kasih tidak terhingga kepada yang tidak jemu memanjatkan doa untuk kesihatan saya, termasuk seluruh ahli UMNO dan rakan-rakan media sosial saya.
“Terima kasih kepada mereka yang berkesempatan sudi menziarahi saya sepanjang berada di hospital termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kesibukan meluangkan masa menziarahi saya,” katanya.
Ahmad Zahid dimasukkan ke hospital itu pada pagi 24 Ogos lalu untuk menjalani prosedur membabitkan kecederaan tulang belakang.
Turut menziarah beliau sepanjang rawatan ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau juga amat terharu menerima jambangan bunga dan kad ucapan kiriman Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dengan ingatan tulus ikhlas mendoakan kesembuhan buat saya. Menjunjung Kasih Tuanku!
“InsyaAllah, berkat doa Tuanku dan rakan-rakan semua, saya akan segera pulih seperti biasa,” katanya. – MalaysiaGazette