Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

SERI KEMBANGAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu perkembangan siasatan polis terhadap kes tembak membabitkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kem Kota Samarahan, Sarawak 13 Ogos lalu.

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan polis dan pihaknya tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

“Dua hari lepas saya rasa Panglima Tentera Udara, Tan Sri pun dah beri kenyataan mengenai perkembangan terbaharu kes berkenaan.

“Perkara ini masih dalam siasatan polis, jadi kami tidak akan mengulas apa apa sehingga siasatan penuh diselesaikan dan dilengkapkan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini pagi ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penyerahan Sumbangan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Program Inisiatif Gerobok Veteran ATM 2021.

Satu insiden tembakan berlaku pada 13 Ogos lalu membabitkan empat anggota pasukan Unit TUDM di Kota Samarahan.

Mereka yang terkorban dalan insiden berkenaan ialah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat,  Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Nesly Anak Nabau. – MalaysiaGazette