Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai semasa untuk menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi mengesahkan SD sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan memastikan Kabinet baharu yang dibentuknya secara rasmi hari ini, menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

Justeru, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Untuk itu, katanya, beliau mahu setiap kementerian membuktikan pencapaian awal masing-masing dalam tempoh 100 hari pertama.

“Realitinya, kita masih berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Pun begitu, saya yakin dan percaya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana Yang Maha Esa tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan.

“Oleh itu, marilah kita menggembleng segala usaha dan daya serta bekerja bersama rakyat dalam misi memulihkan negara.

“Namun, Kabinet saya tidak boleh bekerja bersendirian. Kami memerlukan dokongan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya berucap mengumumkan pembentukan Kabinet, hari ini.

Beliau berharap, pelantikan Kabinet itu akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini. – MalaysiaGazette