Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di bangunan Perdana Putra Putrajaya bagi menjalankan tugas pada hari pertama selepas dilantik menjawat jawatan Perdana Menteri di Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan senarai jemaah menteri yang akan menganggotai Kabinetnya jam 11 pagi ini.

Persoalan yang paling banyak diperkatakan adalah siapa bakal Timbalan Perdana Menteri yang akan menjadi orang nombor dua dalam Kabinet Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Nama-nama seperti Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ai dan Datuk Ahmad Faizal Azumu antara yang disebut bakal mengisi jawatan tersebut.

Ada juga cakap-cakap Kabinet Ismail Sabri tidak akan mempunyai jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti mana ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui kepimpinan negara di mana jawatan nombor dua itu diisi hanya selepas lebih setahun pemerintahan Perikatan Nasional.

Adakah Ismail Sabri akan mengekalkan gaya Muhyiddin yang mewujudkan jawatan menteri kanan bagi kementerian-kementerian yang penting atau Kabinet beliau akan kembali seperti mana tradisi sebelum PN memerintah?

Dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mencetuskan pelbagai kesan rantaian, kementerian penting seperti Kementerian Sains Teknologi dan Invoasi serta Kementerian Kesihatan turut menjadi tumpuan.

MOSTI yang diterajui Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan kerana kehilangan majoriti memikul tanggungjawab yang amat besar dalam menguruskan Program Iminusasi Covid-19 Kebangsaan dalam membendung penularan wabak yang kini telah mengorbankan 15,211 nyawa di Malaysia.

Begitu juga dengan Kementrian Kesihatan yang menjadi tonggak dalam menangani Covid-19 sekaligus menangani segala kelemahan pengurusan kesihatan awam termasuk kemudahan perkhidmatan perubatan yang ‘terdedah’ bersama kemunculan wabak tersebut.

Justeru, kedua-dua kementerian memerlukan peneraju yang bukan sahaja cekap malah pantas bertindak ‘merawat’ semua kelemahan kerana rakyat tidak boleh dibiarkan terlalu lama dibelenggu Covid-19 sehingga merencatkan segala aspek kehidupan.

Lain-lain kementerian penting yang mesti diterajui pemimpin berkaliber dan berjiwa rakyat tetapi amat kurang menyerlah sebelum ini seperti Kementerian Pembanguan Luar Bandar mesti diberi perhatian oleh Ismail Sabri.

Jumlah kementerian yang besar perlu dikecilkan supaya pentadbiran berjalan dengan berkesan dengan ketua-ketua setiausaha kementerian diberi peranan lebih besar.

Pengumuman jam 11 pagi ini walaupun mungkin akan menyaksikan muka-muka lama menerajui kementerian tertentu tidak akan menimbulkan kegusaran rakyat jika mereka adalah menteri-menteri yang berkhidmat dengan cemerlang sebelum ini.

Harapan rakyat kepada Kabinet Perdana Menteri Kesembilan. – MalaysiaGazette