Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin menyerahkan kunci kepada salah seorang penerima di Projek Perumahan Makmur Karak Setia Idaman, Lake View Jaya, Bentong, Pahang

KUALA LUMPUR – Peneraju kediaman mampu milik, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hari ini menyerahkan sebanyak 232 unit rumah jenis teres berkembar kepada pembeli Projek Perumahan Makmur Karak Setia Idaman, Lake View Jaya, Pahang.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kediaman yang telah siap dibina syarikat itu setakat ini mencapai angka 133,238 unit.

Sejak penubuhannya, SPNB telah mengambil peranan meningkatkan peluang pemilikan kediaman dengan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin, hala tuju pengurusan kini tertumpu kepada memastikan rumah dapat disiapkan dan kebajikan para pembeli diberi keutamaan.

Katanya, ia dibuktikan dengan kejayaan SPNB dalam menyerahkan unit kediaman Perumahan Makmur Karak Setia Idaman ketika negara negara sedang berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

“Walaupun dengan kekangan yang dihadapi pada waktu sukar ini, keutamaan kami adalah untuk menyelesaikan masalah projek terdahulu yang lewat siap atau terbengkalai bagi para pembeli yang terkesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Projek Kediaman SPNB Lake View Jaya dibina di atas tapak seluas 79 ekar melibatkan 232 unit rumah jenis teres berkembar dan setiap unit pula mempunyai keluasan binaan 1,158 kaki persegi yang menjamin keselesaan kepada setiap penghuninya.

“Kami juga menghargai sokongan dan kepercayaan dari Kerajaan Negeri Pahang menyediakan tanah untuk dimajukan menjadi Perumahan Makmur Karak Setia Idaman, Lake View Jaya di Bentong ini oleh SPNB,” tambah Hasleen lagi.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 34 juta, kediaman itu dilengkapi dengan prasarana yang mengetengahkan konsep ekosistem lengkap untuk kehidupan mampu milik mampan bagi setiap pembeli.

Kemudahan dan perkhidmatan asas tersebut merangkumi pendidikan, kesihatan, perbankan dan akses mudah ke lebuhraya utama.

Setiap unit rumah jenis teres berkembar ini dilengkapi dengan tiga bilik dan dua bilik air dengan harga permulaan jualan yang berpatutan bermula dari RM 148,000 seunit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast