Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Tidak ada kejutan besar dalam pembentukan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Sebaliknya, menurut Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, empat atau lima orang yang dianggap ‘muka baharu’ itu adalah bekas menteri sebelum ini.

“Pendek kata tidak ada kejutan besar dalam barisan Kabinet jangka hayat 21 bulan ini, sebelum terbubarnya Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dengan kata lain, ianya pasukan lama.

“Apa pun sama-sama kita berharap Kabinet Perdana Menteri baharu ini dapat memenuhi aspirasi rakyat terutama menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim, yang penting daripada pembentukan Kabinet baharu itu ialah kaedah penyampaian hasil yang boleh dirasai dan dinikmati oleh rakyat.

Selalunya, kata beliau, dasar dan pengucapan cukup indah dan sedap didengar, tetapi akhirnya menang sorak kampung tergadai juga.

“Ibarat kata, ayam berkokok hari tak siang. Kelemahan yang selalu berlaku dalam sejarah kepimpinan pembangunan dan pengurusan kerajaan terdulu dan kini adalah pelaksanaan.

“Dasar dan pelaksanaan mesti berkesan. Dasar dan ucapan retorik mesti baik, namun pelaksanaannya lebur, indah khabar dari rupa.

“Ianya disebabkan rasuah, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, nepotism, kronism, pembaziran dan pilih kasih yang sering disebut rakyat, cakap tak serupa bikin,” katanya.

Menurut beliau, kepimpinan tidak boleh menjadi teladan kepada rakyat, umpama murid tidak menghormati guru kerana bersifat hipokrit dan munafik.

Katanya, Malaysia negara kaya dengan penduduk yang kecil sekitar 32 juta, tetapi masih ramai golongan B40, M40 dan kemiskinan tegar di desa serta bandar.

“Penyelewengan berleluasa di kalangan pelbagai agensi kerajaan daripada jual kad pengenalan, pasport, kebocoran di pintu masuk negara dan bermacam karenah menyebabkan berjuta pendatang asing masuk ke negara ini.

“Putra sentiasa bersikap positif dan kritikal, malah dasar parti ini, mana yang baik akan disokong dan yang perlu ditegur akan ditegur atau kalau perlu dikecam akan dikecam.

“Laporan polis, SPRM, protes, serahan memo bantahan akan terus dilakukan oleh kepimpinan Putra semua peringkat yang peka kepada kepentingan rakyat dan negara sebagai sebahagian dari modus operandi perjuangan kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, penubuhan Putra sebagai kuasa ketiga adalah untuk kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu Islam dan pribumi.

Di samping memenuhi aspirasi rakyat yang memastikan Malaysia negara kaya bukan indah dari khabar, tetapi rakyat Makmur dan sejahtera sesuai dengan perjuangan nenek moyang menuntut kemerdekaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast