Wakil syarikat MA Analytics dan MKE ketika melakukan latihan dan demonstrasi penembakan di Lapang Sasar Konya, Turki baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tiga syarikat pertahanan terbesar Turki telah menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat pertahanan Malaysia, MA Analytics Sdn Bhd.

Ketiga-tiga syarikat pertahanan Turki itu adalah Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler dan IVEO Defence telah menandatangani MoU tersebut ketika pameran International Defence Industry Fair (IDEF 2021) bertempat di Tuyap Fair, Turki pada 18 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MA Analytics, Rasyad Anwar berkata, MoU tersebut bakal menyaksikan penglibatan gergasi pertahanan daripada Turki untuk bertapak secara rasmi di Malaysia untuk bekerjasama di dalam memajukan industri pertahanan negara.

“Antara kandungan MoU yang telah dipersetujui ialah
kerjasama antara syarikat-syarikat Turki dan Malaysia yang akan memfokuskan kepada sistem persenjataan, artileri dan kereta perisai,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

CEO MA Analytics bersama 3 syarikat gergasi pertahanan Turki sejurus selesai menandatangani memorandum persefahaman dengan tiga syarikat pertahanan di Turki baru-baru ini.

Menurut Rasyad, usahasama itu bersetuju untuk sama-sama terlibat di dalam mereka cipta, pembinaan dan pembekalan alatan persenjataan, artileri dan kereta perisai di Malaysia.

Syarikat-syarikat daripada Turki akan memberikan bantuan teknikal dan perundingan, pembekalan bahan dokumentasi, teknologi, lesen, “know-how” dan peralatan, pembaikan, modernisasi dan bantuan selepas jualan kepada Malaysia dan juga usahamama di dalam bidang-bidang lain mengikut perundangan kedua-dua negara.

MoU tersebut ditandatangani oleh Rasyad, Ketua Pegawai Eksekutif MKE, Yasin Akdere, Timbalan Pengerusi Katmerciler, Mehmet Katmerci dan Ketua Pegawai Eksekutif IVEO Defence, Gokhan Erturan.

MA Analytics merupakan syarikat tempatan yang terlibat di dalam bidang pertahanan, tenaga dan telekomunikasi dan telah ditubuhkan hasil gabungan beberapa profesional muda dan inovatif di dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan perakaunan dengan misi untuk memberikan peralatan dan servis berkualiti kepada agensi pertahanan dan awam di Malaysia.

Sementara itu, MKE telah ditubuhkan sejak dari zaman Kerajaan Uthmaniah dan merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turki di bawah pimpinan Timbalan Menteri Pertahanan Turki.

MKE memiliki lebih 10 kilang pembuatan senjata dan peralatan ketenteraan dan pekerja sebanyak 5,000 orang terlibat di dalam pembuatan peluru, senjata kecil dan berat, sistem artileri, bom, bahan letupan dan roket.

MKE juga merupakan pembekal Collaboration Drives Result ma-analytics.net utama perbagai peralatan ketenteraan kepada Angkatan Pertahanan Turki dan turut mengimport alatannya kepada lebih 40 negara di serata dunia.

Katmerciler telah ditubuhkan pada tahun 1985 merupakan syarikat inovatif dan pelopor syarikat kenderaan berat di Turki dengan pengalaman melebihi 30 tahun.

Katmerciler mempunyai lebih 30 jenis produk kenderaan berat di bawah satu entiti terbesar di Turki di didalam pembuatan kenderaan berat bagi sektor awam dan ketenteraan yang dieksport ke pelbagai negara.

Katmerciler mempunyai hubungan perniagaan dengan gergasi automotive dunia seperti Ford, BMC, Hyundai, Isuzu, Iveco, MAN, Mercedes, Mitsubishi, Renault, Scania dan Volvo.

IVEO Defence pula merupakan syarikat swasta yang berpusat di Ankara, Turki dan merupakan syarikat yang mereka cipta dan memproses produk dan sistem yang inovatif di dalam bidang elektronik dan elektromekanik.

Produk-produk yang dihasilkan IVEO digunakan di dalam ketenteraan dan awam.

Rasyad berkata, walaupun dunia mengalami masalah ekonomi akibat Covid-19, Turki masih melihat Malaysia sebagai rakan kongsi yang penting.

Malah, katanya, kerjasama pertahanan itu menunjukkan keyakinan Turki terhadap negara Malaysia berdasarkan visi dan dasar pertahanan yang telah diterapkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan dahulu.

Menerusi kerjasama yang sama, katanya, kebergantungan terhadap negara luar dapat dikurangkan menerusi pelbagai kursus yang bakal dilaksanakan.

Di samping itu, peluang pekerjaan dapat ditingkatkan terutamanya kepada veteran tentera.

“MA Analytics juga sedang merancang menjalinkan kerjasama bersama-sama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beberapa GLC supaya manfaat dari MoU ini dapat memberikan impak secara maksima,” katanya.- MalaysiaGazette