Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ser Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada pengamal media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO melahirkan rasa lega apabila 10 Tuntutan Rakyat yang diperjuangkan pihaknya untuk mereka terkesan dengan pandemik mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dibawa beliau sendiri dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi menggesa Perdana Menteri memberi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan selepas ini.

“Alhamdulillah mendapat respon yang amat baik daripada Perdana Menteri.

“Ini antara perkara yang harus menjadi fokus Perdana Menteri hari ini bukan sahaja menangani pandemik Covid-19 bahkan soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita minta supaya Perdana Menteri dapat memberikan fokus utama kerana mengambil kira keadaan rakyat yang kesempitan, kesusahan dan tertekan pada waktu ini,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn malam ini.

Katanya, antara 10 tuntutan rakyat yang diperjuangkan Pergerakan Pemuda UMNO ialah Bantuan Khas Covid-19 (BKC).

“10 tuntutan itu kita anggap sebagai amat mendesak terutamanya BKC yang perlu disegerakan, masih tidak dikreditkan ke dalam akaun serta moratorium tanpa faedah terakru,” katanya.

Beliau turut mendesak agar pengeluaran wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditingkatkan sehingga RM10,000 secara sekaligus melalui skim i-Citra.

“Ini semua perkara yang melibatkan keperluan rakyat yang terdesak di mana hari ini rata-rata M40 jatuh kepada B40.

“Ini antara perkara yang saya bangkitkan di dalam mesyuarat tadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette