Seorang pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi sebelum memasuki premis untuk mengunting rambut selepas kerajaan membenarkan beroperasi buat negeri Fasa 1 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Gunting Rambut Image, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 859 kes kompaun telah dikenakan ke atas premis-premis perniagaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan membabitkan nilai kompaun berjumlah RM4,561,500.00.

Jumlah itu adalah daripada 746, 645 premis yang telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 13 Ogos lalu selepas 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

KPDNHEP telah menggerakkan semua pegawai penguat kuasa yang berjumlah lebih 2,200 orang pegawai dalam Ops Samar di seluruh negara yang berpakaian preman/biasa bagi memastikan premis-premis perniagaan di bawah kategori 22 sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik Covid-19.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, daripada 859 kes kompaun yang telah dikenakan, sejumlah 20 kes kompaun dengan nilai kompaun RM 107,000 adalah di bawah Ops Samar.

”Dari 22 sehingga 27 Ogos 2021, antara kesalahan tidak mematuhi SOP PPN adalah seperti peniaga gagal pamer had kemasukan pelanggan, premis dan individu gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi Mysejahtera

”Kompaun yang dikeluarkan serta-merta setelah jelas terbukti pelanggaran SOP yang dilakukan adalah sebagai mesej kepada peniaga dan pengguna tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan operasi berkenaan setelah program advokasi dan peringatan dilaksanakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap yang memuaskan, yang mana 98.74% premis patuh kepada SOP ditetapkan, manakala 0.08% premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.06% premis diberi nasihat dan amaran.

Walaupun demikian, KPDNHEP merasakan kelonggaran yang diberikan bukanlah untuk diambil sambil-lewa malah tidak mahu ianya disalahgunakan seperti melakukan eksperimen sosial dan menghebahkan kepada orang ramai.

Katanya, pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran ini merupakan satu usaha bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik negara.

”Harus diingatkan, pembukaan ini bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga dan pengguna tetapi ianya juga menuntut pertanggungjawapan dari semua agar pemulihan ekonomi negara dapat mencapai sasaran seiring dengan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast