Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 366 keluarga pelbagai bangsa yang memerlukan bantuan bakal menerima manfaat hasil kerjasama antara Kelab Bank Islam dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Melalui kerjasama ini, Kelab Bank Islam menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 menerusi kutipan ahli Kelab dan staf Bank Islam melalui Tabung Amal Jariah kepada Yadim untuk kegunaan Program Musaadah Covid-19 bagi menyantuni rakyat.

Antara pihak yang bakal menerima manfaat hasil program ini ialah pemandu teksi, pengayuh beca, seniman jalanan, keluarga B40, pesakit kritikal dan Orang Kelainan Upaya pelbagai bangsa di seluruh negara.

Sebelum ini, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah menyalurkan pelbagai bantuan di bawah program tanggungjawab sosialnya, AMAL, platform pendanaan awam Sadaqa House dan zakat wakalah berjumlah RM4 juta sejak Januari sehingga Ogos 2021, termasuk Inisiatif Prihatin Covid-19.

Tahun lalu, syarikat pemegangan kewangan Bank Islam, BIMB Holdings Berhad, turut menyumbang RM1 juta kepada Tabung Musaadah Covid-19.

Program pertama daripada kerjasama ini diadakan pada hari ini bertempat di Terminal LRT Putra Gombak, Kuala Lumpur.

Dalam program ini, seramai 52 pemandu teksi akan menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai berjumlah RM250 secara pandu lalu.

Program ini kemudiannya akan diperluaskan lagi ke seluruh negara seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah dan Johor selepas ini.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar agensi-agensinya proaktif menggerakkan aktiviti kebajikan dan bantuan sumbangan musaadah kepada golongan yang terjejas dengan pendekatan dakwah, sekali gus merupakan satu kaedah perluasan dakwah selain menunjukkan keberadaan Yadim dan Bank Islam dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette