Asiri and the representative from the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO) MHO in Sabah, showing his birth certification. Identity theft victim
Asiri and the representative from the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO) MHO in Sabah, showing his birth certification. Asiri bersama-sama wakil MHO di Sabah bertambah bersama-sama lampiran surat-surat kelahirannya.

KUALA LUMPUR – Bukan setahun dua sebaliknya lebih 11 tahun seorang rakyat Malaysia berusia 46 tahun dari Sabah terpaksa berulang alik Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) kerana untuk mendapatkan kad pengenalan (IC) yang sah.

Ini kerana dirinya tidak pernah mempunyai kad pengenalan sebaliknya hanya diberikan resit pengenalan sementara sejak November 1997 dan dilanjutkan tempohnya beberapa kali sehingga 14 Oktober 2004.

Bagaimanapun, mangsa, Asiri Jaji mendakwa dilahirkan tahun 1975 di Sabah dan kedua-dua ibu bapanya adalah warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan berwarna biru.

Bagaimanapun, dakwa Asiri, dirinya tidak pernah memiliki kad pengenalan sah sehingga saat ini dan terpaksa melalui pelbagai kesulitan sehingga kini.

Malah dedah beliau telah memohon kad pengenalan dengan JPN sejak tahun 1993 lagi.

“Pada 2010, saya telah diberikan sijil warganegara Malaysia kemudian 24 Ogos 2010 saya telah diminta hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Ibu Pejabat JPN Putrajaya bagi membantu siasatan.

“Malang sekali, ketika saya juga telah dimaklumkan ada berlakunya kecurian identiti, saya mohon untuk pengenalan tapi orang lain pula yang gunakan identiti saya. Kejadian seperti ini memang biasa berlaku di Sabah.

“Tetapi pada masa sama, saya juga telah bekerjasama memberikan semua maklumat dan apa sahaja lampiran, butiran seperti yang diminta.

“Hampir 11 tahun, kes saya masih lagi disiasat oleh JPN. Anak saya yang sulung sendiri sudah 22 tahun. Sehingga bila saya perlu tunggu begini? Sejak 2011 sehinggalah sekarang saya terus tunggu,” katanya.

Menurut Asiri, segala permohonannya belum ada sebarang keputusan namun semuanya seperti tergantung.

Menurut beliau, beliau terseksa kerana terpaksa berulang alik tapi sehingga sekarang kesnya masih disiasat.

“Saya bukanlah orang ‘besar-besar’. Hanya rakyat biasa yang mohon kepada kerajaan untuk bantu saya akhiri penderitaan ini. Tolonglah,” katanya dalam tangisan dalam sesi Google Meet bersama MalaysiaGazette baru-baru ini.

Dalam pada itu, peguam yang juga aktivis, Datuk Hishamuddin Hashim yang kini menjadi jurucakap Asiri memberitahu, pihaknya juga telah menghantar surat rasmi kepada JPN sekitar April tahun ini.

Kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) itu, pihaknya juga telah melampirkan kesemua dokumen diperlukan bagi rujukan JPN.

Hishamuddin Hashim

“Kita juga hendak tahu mengapa tempoh begitu panjang sehingga lebih 11 tahun untuk siasat? Sehingga kini tidak ada keputusan. Kasihanilah mangsa. Sehingga bila beliau hendak tunggu?

“Berilah peluang untuk beliau hidup seperti rakyat Malaysia yang lain dengan pengenalan sah. Bayangkan tanpa pengenalan ini, kehidupan umpama neraka. Hentikan birokrasi ini, sudah tiba masanya untuk kerajaan lebih efisien dalam tangani isu-isu ini.

“Banyak urusan oleh anak guam kami ini tergendala apatah lagi melibatkan kerajaan di bahagian penguatkuasaan, pendidikan dan juga kesihatan. Ini tidak pula termasuk hal-hal peribadi termasuklah institusi kewangan,” katanya.

Menurut Hishammuddin, Asiri berulang alik ke Kuala Lumpur dan Sabah untuk beberapa kali demi untuk mencari titik penyelesaian masalah berkenaan dan telah menyediakan surat-surat, dan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tujuan siasatan.

“Tolonglah beri ketetapan atau keputusan, sekurang-kurangnya pihak kami boleh ambil tindakan selanjutnya. Kami bukan menghentam kerajaan sebaliknya mahu bekerja dengan anda, bantulah kami bantu anak guam kami,” tegasnya. -MalaysiaGazette