Tindakan sekumpulan 12 lelaki menunggang motosikal secara berbahaya sambil beraksi roket dan Superman dicekup dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) awal pagi tadi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan 12 lelaki menunggang motosikal secara berbahaya sambil beraksi roket dan Superman dicekup dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) awal pagi tadi.

Operasi itu membabitkan seramai dua pegawai dan 14 anggota dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur yang diketuai oleh Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod bermula dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam serbuan pertama di Lebuhraya DUKE, seramai tujuh lelaki berusia antara 17 hingga 33 tahun ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka mendapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan menunjukkan pelbagai aksi termasuk roket, zig zag, terbang (fly), Superman dan bersaing sesama sendiri.

“Ada di antara suspek berkenaan didapati bekerja sebagai penghantar makanan, pekerja am, pemandu peribadi dan pekerja restoran selain menganggur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarifudin, dalam serbuan kedua di Lebuhraya AKLEH pula, pihaknya menahan lima lelaki berusia 17 hingga 27 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan menunjukkan aksi seperti roket, zig zag dan berlumba sesama sendiri.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan seorang lelaki berusia 15 tahun yang menunggang motosikal Honda HNF menggunakan nombor pendaftaran palsu juga dikenalpasti untuk tindakan lanjut.

“Kami juga telah mengeluarkan 10 saman dalam operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan lain-lain.

“Kesemua suspek yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk diambil tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108 akta sama.

“Kami akan meneruskan operasi berkenaan secara berterusan dalam usaha menyekat aktiviti samseng jalanan dilakukan di ibu negara,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast