lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 463 kawasan di lima di wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

Kawasan terlibat ialah di Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.

Pencemaran bau itu  telah dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna yang terlibat.

Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. – MalaysiaGazette

Henti tugas LRA Sungai Semenyih akibat pencemaran di muka sauk