Gambar dari Twitter Muslim Imran @muslimbinimran

KUALA LUMPUR – Sebuah jalan di Gaza dinamakan Malaysia Street sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-64.

Gambar dan maklumat berhubung inisiatif tersebut dikongsi oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran dalam Twittter beliau.

Menurut beliau, papan tanda Lebuh Malaysia itu dipasang di bulatan Ansar, barat bandar Gaza.

“Selamat Hari Merdeka Malaysia, ikhlas dari Gaza, Palestin.

“Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebuah jalan di kawasan barat bandar Gaza sebagai Lebuh Malaysia bagi memperingati Hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini,” kata Muslim menerusi ciapannya.

Papan tanda nama jalan tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Penerangan ringkas berhubung Malaysia dan peranan negara ini dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel turut dipaparkan pada papan tanda itu.

Malaysia:

Ia merupakan salah sebuah negara di Asia Tenggara yang mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957 dan ibu negaranya adalah Kuala Lumpur.

Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Negara itu sentiasa mendesak agar pendudukan Israel ditamatkan dan hak-hak rakyat Palestin dikembalikan.

Negara itu juga menolak normalisasi hubungan dengan Israel. – MalaysiaGazette