Tiga lelaki ditahan menerusi Operasi Ambang Merdeka di ibu negara malam tadi kerana menunggang dengan merbahaya serta melakukan aksi zig zag, roket dan superman serta bersaing.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 306 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan menerusi Operasi Ambang Merdeka di ibu negara malam tadi.

Operasi yang dijalankan seramai lima pegawai dan 30 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu bermula pada pukul 9 malam sehingga pukul 3 pagi di sekitar Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak serta Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak lapan buah motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mengubah suai ekzos.

“Bagi operasi Samseng Jalanan di Lebuh Raya Duke (Ayer Panas), seramai tiga lelaki berusia lingkungan 17 hingga 21 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya selain melakukan aksi zig zag, roket, superman serta bersaing.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke JSPT Kuala Lumpur sementara motosikal yang disita akan diambil tindakan dan diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan untuk mengubah ke struktur asal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara aksi berbahaya seorang penunggang dan motosikal yang disita menerusi Operasi Ambang Merdeka malam tadi di sekitar ibu negara.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, operasi tersebut akan diteruskan bagi membanteras sepenuhnya samseng jalanan di Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya mematuhi prosedur operasi standard dan tidak keluar tanpa tujuan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara, tidak mengganggu ketenteraman awam dan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis berhampiran. – MalaysiaGazette