BAYAN BARU – Pasar Awam Bayan Baru di sini, ditutup serta-merta berikutan 11 peniaga, pembantu dan penyedia pasar terbabit didapati positif Covid-19.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penutupan 159 gerai itu berkuat kuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Jelasnya, penutupan pasar awam berkenaan dilakukan bagi kerja sanitasi dan disinfeksi sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.
“Penutupan sementara ini hanya membabitkan bahagian pasar awam manakala kompleks makanan bersebelahan tidak terlibat.
“Orang ramai diminta mengambil perhatian terhadap penutupan premis di pasar berkenaan dan individu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 itu perlu menjalani ujian saringan sekiranya menunjukkan gejala dan tidak sihat,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, MBPP menasihati persatuan di semua pasar dan kompleks makanan supaya memastikan kawalan pengunjung dilaksanakan dengan baik pada setiap masa.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis akan dibuat sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette