Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR – Kes pukul seorang pengawal keselamatan di Perak pada hujung tahun lalu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Ia susulan kematian pengawal keselamatan itu pada 27 Ogos lalu akibat dipukul pada 29 Disember 2021.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Artikel berkaitan: Pengawal keselamatan diserang video lama

PDRM diminta siasat kematian Thava dengan adil

Menurut beliau, kes ini masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaraya.

Polis memandang serius ke atas aktiviti jenayah yang berlaku dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan jenayah yang menganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dengan adil, telus dan saksama.

Mior juga menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelakkan keresahan dan kemarahan masyarakat.

Pengawal keselamatan yang berusia 64 tahun itu diserang oleh seorang lelaki di sebuah kondominium di Ipoh, Perak akhir tahun lalu selepas anak lelaki itu dilarang menggunakan kolam renang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Warga emas itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat lalu selepas berbulan-bulan menderita pelbagai komplikasi akibat kecederaan yang dialami akibat serangan tersebut.

Mior dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru (Sepsis).

Bagaimanapun susulan kematiannya, polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut.

Mior berkata, kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup dan tular baru-baru ini, berlaku pada 29 Disember 2020.

Polis telah memulakan siasatan ke atas lelaki itu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh Noor Azhar Muhammad telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan dan kes itu dijadualkan disebut semula pada 9 September untuk menjatuhkan hukuman. – MalaysiaGazette