lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan pada jam 7 pagi tadi secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna di kesemua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg. Semenyih) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menjalankan ujian kualiti air dan ianya mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Air terawat dari LRA Sg. Semenyih juga telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada para pengguna.

Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan-kawasan yang terjejas.

Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 3 September 2021. – MalaysiaGazette