Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin

TOKYO – Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjanji akan berusaha sedaya upaya memperjuangkan nasib jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli selepas pingat emas dimenangi atlet itu ditarik balik semalam.

Beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata pihaknya akan memanjangkan isu berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) disertai Muhammad Ziyad ke Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia (WPA) sejurus temasya berakhir.

Katanya, beliau juga sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik panggilan (call room) dan kawasan menunggu Stadium Olimpik Tokyo bagi mendapatkan gambaran serta masa sebenar insiden sebagai bahan bukti dalam meneruskan tindakan selanjutnya.

Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zokefli beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik malam ini.

“Pada mesyuarat CDM pagi tadi, sebagai usaha tambahan saya sudah menerangkan situasi yang berlaku kepada Muhammad Ziyad di hadapan Jawatankuasa Penganjur dan ketua kontinjen negara yang bertanding sebagai mempertahankan kemenangan itu.

“Namun, pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA. Tindakan itu hanya boleh dilakukan selepas berakhirnya temasya Paralimpik Tokyo,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.

Pada masa sama, Megat D Shahriman memaklumkan Muhamaad Ziyad berlapang dada selepas dimaklumkan mengenai hasil mesyuarat CDM berkenaan dan berharap insiden itu tidak menjejaskan fokus atlet negara yang masih berjuang di Tokyo.

“Misi kita di Tokyo belum selesai dan kami memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Megat D Shariman memohon pertimbangan kerajaan agar memberikan ganjaran sewajarnya atas jasa dan pencapaian luar biasa Muhammad Ziyad sebagai menghargai pengorbanannya selama ini.

Semalam, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa jaguh lempar peluru itu lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pingat perak juga milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi dengan catatan lontaran 17.30m manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis dari Greece (15.93m). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast