JOHOR BAHRU – Pasar Taman Johor Jaya di sini diarahkan tutup serta-merta ekoran terdapat beberapa kes positif Covid-19 yang dikesan melibatkan premis di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Arahan penutupan selama seminggu bermula hari ini hingga 7 September itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mengawal penularan pandemik.
Ahli Majlis MBJB Zon Johor Jaya, Chan San San berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya sembilan individu dilaporkan positif Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Kesemua sembilan individu berkenaan telah diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah. Kerja sanitasi telah dilakukan di sekitar pasar ini dan esok, MBJB akan melakukan kerja-kerja sanitasi di kawasan ini lagi sekali,” katanya ketika melawat pasar berkenaan di sini hari ini.
Menurut San San, orang ramai yang pernah mengunjungi pasar tersebut dalam tempoh beberapa hari lalu dinasihati untuk melakukan ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.
“Sekiranya mereka menunjukkan simptom atau mempunyai masalah kesihatan, sila dapatkan rawatan dengan segera,” katanya sambil meminta para peniaga yang sebelum ini beroperasi di luar premis tersebut turut menghentikan operasi mereka sementara waktu.- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast