KUALA LUMPUR – Tindakan tatatertib ke atas pekerja-pekerja yang belum bersedia disuntik vaksin Covid-19 adalah tidak wajar sekali gus akan menimbulkan polemik berterusan tentang pengambilan vaksin Covid-19.

Ia juga akan mewujudkan jurang diskriminasi yang luas dalam sektor pekerjaan dengan kebarangkalian suasana selamat dan sihat di tempat kerja akan terjejas, kata Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).

Apatah lagi, pada waktu ini, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 kepada mana-mana individu.

Oleh itu, majikan juga tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa para pekerja menerima pelalian ini.

Mengambil contoh, Presiden MSOSH, Dr. Shawaludin Husin berkata, peruntukan seksyen 24 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 menuntut majikan memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.

Tetapi, peruntukan tersebut tidak seharusnya diperluaskan kuasanya untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja.

Ini kerana AKKP 1994 tidak pernah memperuntukkan apa-apa syarat vaksinasi di dalam akta tersebut.

Oleh itu, MSOSH berpandangan Seksyen 24 AKKP 1994 tidak boleh digunakan untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja.

MSOSH bimbang dengan langkah majikan, atau kerajaan untuk memaksa para pekerja divaksinasi tanpa punca kuasa yang jelas akan memburukkan lagi keadaan.

Ini seterusnya memberi kesan tidak baik program immunisasi kebangsaan.

”Perlu diingatkan, hak bekerja adalah salah satu daripada hak asasi manusia. Maka, pengendalian yang bijaksana oleh kerajaan dan majikan adalah penting untuk menyelesaikan permasalahan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, MSOSH mencadangkan agar kerajaan mengambil jalan tengah iaitu meneruskan proses advokasi kepada rakyat dan pekerja secara proaktif.

Ini termasuk memberi penerangan yang jelas dan tentang data kesan sampingan vaksin.

Beliau berkata, di Australia, data-data seperti ini dikongsi secara terbuka dan dilaporkan oleh pihak media.

Menurut laman web Jabatan Kesihatan Australia, sehingga April 2021, sejumlah 12,694 kes kesan sampingan selepas vaksin, atau Adverse Event Following Immunisation (AEFI) dilaporkan, dengan kadar 6.6 kes dilaporkan untuk setiap 1,000 dos.

Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 22 Mac lalu menyatakan individu yang mempunyai kesan AEFI boleh menuntut sehingga RM500,000 jika hilang upaya, atau meninggal dunia selepas disuntik vaksin Covid-19 dengan bersetuju dan menandatangani surat kebenaran pengambilan vaksin.

Pada April, KKM menyatakan kira-kira 25,770 daripada 740,226 penerima vaksin telah mendapat kesan sampingan, yang mana 25,641 daripada mereka mengalami kesan ringan, dan bakinya (129) mengalami kesan serius.

”Persoalannya, sehingga hari ini, sudah berapa ramai individu yang telah mendapat pampasan ini? Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan jelas agar mereka yang belum menerima vaksin bersedia untuk disuntik,” katanya sambil berharap KKM dapat menyeragamkan pelalian vaksin bagi sektor pekerjaan ini, di mana akta AKKP 1994 kemudiannya dapat diselaraskan mengikut standard KKM.

Selain itu, peranan proaktif Jabatan Tenaga Kerja juga diperlukan untuk meleraikan permasalahan ini.

Jelasnya, dari sudut data dan sains pula, jangkitan virus Covid-19 tetap boleh dibawa oleh pembawa (manusia) sama ada sudah divaksin atau pun tidak.

Vaksin telah terbukti untuk menurunkan tahap keseriusan ke tahap 4 dan 5 jadi secara langsung mengurangkan beban fasiliti kesihatan dan mengurangkan kematian.

Serta dapat mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok seterusnya melindungi golongan yang belum boleh divaksin iaitu remaja, kanak-kanak dan bayi.

Shawaludin menambah, walaupun vaksin masih lagi dianggap sebagai pilihan peribadi, MSOSH sangat menggalakkan pekerja untuk mendapatkan vaksinasi demi melindungi diri dan keluarga.

Data-data di Malaysia dan negara-negara lain telah menunjukkan program vaksinasi Covid-19 telah berjaya mengekang wabak ini.

Oleh yang demikian, MSOSH berharap kerajaan dan majikan akan terus memberi dorongan dan pemahaman berterusan yang berkesan untuk meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 negara.

MSOSH sentiasa menyokong program immunisasi kebangsaan iaitu program PICK dan PIKAS agar pekerja dapat menjalankan pekerjaan mereka dalam keadaan selamat dan sihat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast