Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)

KUALA LUMPUR – Cubaan membawa masuk 30 kilogram daging khinzir dari China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya dipatahkan dalam satu pemeriksaan kelmarin.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap dua warganegara China pada pukul 5 petang.

Katanya, pemeriksaan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA menemukan 80 pek produk daging khinzir yang diletak dalam dua kotak gabus.

“Daging khinzir ini dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan ditahan kerana gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Maqis, semua daging khinzir itu dihantar ke makmal kesihatan veterinar untuk tujuan persampelan penyakit demam babi Afrika (ASF).

“Tujuan larangan membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan wabak ASF yang boleh merosakkan industri ruminan negara.

“Mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” ujarnya. – MalaysiaGazette