Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban dan AMK Selangor merangkap Adun Rawang, Chua Wei Kiat sampaikan sumbangan kepada isteri mendiang, Philomena.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat insiden pengawal keselamatan dipukul seorang lelaki di sebuah kondominium di Ipoh tahun lepas tanpa sebarang campur tangan politik.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban berkata, insiden itu telah memberikan pelbagai impak negatif dalam kalangan masyarakat dan ianya perlu dijalankan perlu dilakukan secara telus.

Jelas Thiban, banyak persoalan masih lagi menjadi tanda tanya dan memerlukan pencerahan dari pihak berkuasa agar perkara ini dapat reda akhirnya.

“Ini melibatkan kematian, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang dengan begitu ringan sahaja.

“AMK juga agak terkesan dengan video tular sejak kebelakangan bagaimana seorang lelaki dipercayai terlibat dengan sebuah parti politik kerajaan menyerang seorang pengawal keselamatan tahun lalu.

“Walaupun video itu lama tetapi kesan kepada mangsa sehingga meninggal dunia serta keluarga sesuatu yang kita semua tidak dapat sangkal langsung.

“Semalam saya bersama Ketua AMK Selangor YB Chua Wei Kiat telah menziarahi keluarga mendiang di kediaman beliau dan menyampaikan sedikit sumbangan mewakili keluarga besar AMK Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengawal keselamatan diserang video lama

Sambung Thiban lagi, isteri mendiang, Philomena juga telah berkongsi pengalamannya selama lapan bulan menjaga mendiang selain melihat sendiri penderitaan dilalui oleh suaminya sehingga menghembuskan nafas di hospital..

“Ini bukan sesuatu yang kita hendak politikkan lagi. Ingat, nyawa manusia yang kita sedang utarakan. Memang sedih sekali bila dengar tangisan isteri mendiang semalam dan ianya masih lagi segar di telinga saya.

“Kami juga diberitahu pengalaman isteri mendiang yang telah dua kali ke balai polis untuk buat laporan namun tidak mendapat layanan adil. Ini sememangnya menganggu fikiran sebenarnya. Kes tidak direkodkan.

“Polis juga tidak pandang serius kes ini sehinggalah video tular itu. Jadi persoalan kita adakah ini satu campur tangan politik? Satu Malaysia kini tahu siapakah yang menyerang mendiang dan jawatanya dalam parti politik kerajaan.

“Jadi tolonglah, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara. Mohon jangan pandang remeh lagi. Semua mata memandang. Keadilan perlu ditegakkan, kita mohon sangat belas disini,” tegasnya.

Sebelum ini polis mengesahkan video seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki di sebuah kondominium di sini yang tular melalui aplikasi WhatsApp sejak 26 Ogos lalu merupakan video lama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil semakan mendapati insiden berkenaan berlaku pada 29 Disember lalu dan kertas siasatan mengenai kejadian tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah. – MalaysiaGazette