KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan 26 warga asing kerana disyaki terlibat aktiviti pelacuran, serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di sekitar Lembah Klang dalam Operasi Merdeka, bermula kelmarin hingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata operasi pertama dijalankan di sebuah hotel lama di Pudu di sini, yang dikenal pasti menjalankan aktiviti pelacuran sebelum 12 warga asing ditahan, terdiri daripada tujuh lelaki warganegara Bangladesh dan lima wanita Vietnam.

Beliau berkata, tujuh warga Indonesia dan lima warga Bangladesh pula ditahan dalam pemeriksaan di dua buah premis kediaman di kawasan Puchong, Selangor manakala dua lelaki warga Ghana ditahan di sebuah kelab komuniti di Cyberjaya.

“Salah seorang daripada mereka terjun ke dalam tasik di belakang kelab tersebut sehingga membahayakan diri sendiri, dan pegawai operasi terpaksa terjun ke dalam tasik untuk menahan warga asing tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 45 tahun itu, ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk disiasat atas pelbagai kesalahan, termasuk Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran dan Akta Imigresen 1959/63.

— BERNAMA