Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media khas di Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak akan melakukan perubahan besar dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajuinya kini susulan banyak dasar sedia ada sangat dekat dengan rakyat.

Beliau juga tidak akan memperkenalkan dasar baharu kerana bekas menterin, Datuk Zuraida Kamaruddin telah mewariskan 10 dasar sedia ada termasuk memerangi pandemik Covid-19.

“Saya datang ke sini (KPKT) bukan nak buat pemeriksaan utama, kita tak nak setiap kali datang Menteri baharu ada dasar baharu.

“Di sini adalah sebuah kementerian yang mempunyai banyak dasar dan perancangan cukup konfrehensif.

“Keberadaan saya bersama pasukan Kabinet lain adalah untuk melihat perkara yang paling penting iaitu merawat keresahan rakyat berkaitan penularan Covid-19.

“Sebab itu saya akan meneruskan agenda yang telah dimulakan Menteri terdahulu, Datuk Zuraida,” katanya pada sidang media di pejabat KPKT, hari ini.

Beliau juga berkata, program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang diperkenalkan Zuraida untuk memastikan semua penjaja divaksin akan diteruskan dalam pentadbirannya.

“Mereka ini adalah barisan hadapan ekonomi, kalau ekonomi buka semula, mereka boleh beroperasi dan melakukan aktiviti seperti biasa.

“Mereka juga perlu memberi rasa selamat kepada pelanggan yang datang membeli dan MOVAK adalah salah satu inisiatif yang saya fikir amat baik dan akan diteruskan, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast