Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia hari ini mengesahkan empat suspek samun ditangkap hari ini adalah geng Samun Latino yang berasal dari Amerika Latin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, suspek akan mengekori mangsa yang mengeluarkan duit dalam jumlah yang banyak di bank sebelum memancitkan tayar kenderaan sasarannya.

Katanya, mangsa yang terpedaya akan memberhentikan kereta dan suspek akan menaburkan beberapa keping duit kertas RM10.

“Semasa mangsa leka mengutip duit terbabit, suspek akan membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg mangsa yang berisi duit.

“Kegiatan suspek geng Latino itu terbongkar selepas polis menahan empat Geng Latino samun keluar bank jam 12 tengah hari ini selepas pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam memaklumkan satu kejadian samun berlaku di sebuah stesen minyak di Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:Cubaan samun gagal, seorang suspek warga asing cedera ditembak polis 

Abdul Jalil menambah, hasil daripada maklumat itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur menjalankan operasi mengesan suspek yang terbabit.

Katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari, suspek dikesan di Jalan Berhala, Brickfields, sebelum sepasukan polis menghalang laluan suspek untuk menahan mereka.

“Dalam usaha menangkap suspek, mereka merempuh kenderaan pasukan dan cuba melanggar pegawai serta anggota polis beberapa kali.

“Untuk keselamatan pasukan, beberapa das tembakan dilepaskan menyebabkan suspek yang memandu terkena tembakan di badan dan kereta suspek berjaya dihentikan,” ujar beliau.

Menurut Abdul Jalil, suspek yang tercedera akibat terkena tembakan kini berada dalam keadaan stabil.

“Duit samun yang dilarikan oleh suspek berjaya ditemui semula adalah sebanyak RM194,000,” kata beliau. – MalaysiaGazette