Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diminta jangan tergesa-gesa mengumumkan status endemik sekiranya kes harian dan kematian harian masih berada pada kadar yang tinggi.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, seharusnya keutamaan diberikan agar Covid-19 berada pada kadar yang stabil dan rendah.

Untuk itu Khairy diminta melaksanakan perubahan strategi dengan segera bagi mengekang penularan Covid-19 dan pertambahan kes harian serta kes kematian harian.

Lagipun, Covid-19 masih lagi diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

”Peluang kedua ini diharapkan tidak disia-siakan oleh menteri baharu agar kita dapat keluar daripada pandemik ini. Strategi baru seharusnya dilaksanakan sebelum kita masuk kepada fasa endemik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, PKP 3.0 masih berjalan dengan pembukaan sektor lain secara berperingkat bagi Fasa Pemulihan 1,2,3 dan 4 dan strategi ini masih gagal menurunkan kes harian dan kes kematian harian.

Shahir berkata, negara ini telah melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei 2021 hingga tiada penghujung dan hari ini rakyat sudah dibataskan pergerakan selama 114 hari atau tiga bulan 22 hari.

Namun begitu, fakta dan sains menunjukkan Malaysia belum berjaya menurunkan kes dengan strategi yang sama.

”Bandingkan negara lain yang melaksanakan 14 hari + 14 hari kawalan pergerakan yang ketat, seperti di New Zealand, sehingga mereka dapat menurunkan kes harian kepada angka sifar.

”Kali ini, mereka juga berjaya mengekang penularan varian Delta,” ujarnya.

Berdasarkan statistik dan data Covid-19 bagi populasi setiap sejuta orang, Malaysia masih mengatasi negara-negara serantau bagi kadar kes harian dan kes kematian harian, termasuklah jika dibandingkan dengan purata statistik dunia.

Pada masa yang sama, kadar vaksinasi bagi setiap populasi 100 orang juga sudah menurun, walaupun negara kita masih berada antara di kelompok tertinggi.

Dakwa beliau, kadar penurunan vaksinasi harian dan kadar peningkatan jangkitan kes harian menunjukkan negara bakal berdepan masalah lebih serius dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Walaupun perdana menteri menyasarkan seratus hari untuk menilai prestasi setiap menteri, DPIM berpandangan Menteri Kesihatan perlu bertindak
cepat kerana Covid-19 melibatkan nyawa rakyat.

Dalam tempoh tujuh hari yang lepas, angka kematian harian Covid-19 adalah 1,980 orang dengan purata 283 kematian sehari.

”Sebagai ilustrasi, angka kematian harian ini umpama tujuh pesawat Airbus A330 yang penuh penumpang telah terhempas dalam tempoh seminggu,” ujarnya. – MalaysiaGazette