Presiden NGO PEKA Malaysia, Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil (tengah) bersama Setiausaha Otai Reformis 98, Abdul Razak Ismail (dua dari kanan) dan Pengerusi NGO Gerak 98, Syed Putra Syed Isa (kanan) menyerahkan memorandum bantahan kepada Kerajaan Negeri Selangor berkaitan penyahwartaan hutan simpan Kuala Langat Utara ketika di hadapan pintu Bangunan SUK, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Selangor menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri berhubung kelulusan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 536.7 hektar, di sini, hari ini.

NGO Otai Reformis 98, Gerak 98, PEKA, Agamam Ani Malaysia, KitaBantuKita.org, Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Lawyers for Environmental Right dan Ecomy kesal dan kecewa tindakan kerajaan negeri tidak endah bantahan orang ramai.

Menurut Pemuda Otai Reformis 98, Fazli Hassan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari langsung tidak menghormati keputusan sebulat suara Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong penuh usul 26 mempertahankan pewartaan status hutan itu dalam sesi sidang DUN pada 11 November tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan negeri mengadakan sesi pendengaran awam di Resort Pulau Carey, Banting pada 29 September 2020, ia hanya bagai melepaskan batuk  ditangga sahaja, iaitu untuk melengkapkan proses meluluskan nyahwarta tersebut.

“Kami, NGO-NGO kemanusiaan juga kesal kerajaan negeri tidak mengambil endah bantahan kuat dari pelbagai pihak, jabatan kerajaan berkaitan, JAKOA, orang awam yang prihatin, masyarakat Orang Asli dan NGO alam sekitar dan sosial terhadap cadangan penyahwartaan itu.

“Setakat ini, lebih 45,000 surat bantahan telah disampaikan kepada Pejabat Perhutanan Selangor dan sebanyak 129,034 tandatangan petisyen telah diterima secara atas talian untuk menyatakan bantahan keras terhadap cadangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan sekurang-kurangnya toga memorandum dari NGO berkenaan kepada wakil Speaker DUN Selangor dan wakil Menteri Besar Selangor di hadapan pintu masuk utama ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUJ) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gerak 98, Syed Putra Syed Isa; Presiden PEKA Malaysia, Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil; Setiausaha Otai Reformis 98, Abdul Razak Ismail; dan lebih 30 ahli mewakili NGO masing-masing.

Memorandum pertama diserahkan kepada wakil Speaker DUN pada jam 10.22 pagi dan penyerahan kedua kepada wakil Menteri Besar pada jam 10.38 pagi.

Menurut Fazli, Amirudin sekurang-kurangnya kena tahu, terdapat sembilan kampung masyarakat Orang Asli Temuan dengan lebih 1,000 ahli keluarga menetap di sekitar hutan tersebut.

Katanya, hutan itu merupakan kawasan punca pencarian rezeki dan tempat untuk mereka mencari hasil hutan, binatang buruan kecil, ubat-ubatan dan pucuk ulam-ulaman untuk hidup.

Kata beliau, Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini penting untuk mengekalkan eko-sistem dan sebarang tindakan mengubahnya akan menyebabkan pelepasan 3.2 juta tan karbon dioksida ke udara.

“Ia akan mengundang perubahan iklim yang ketara dan memberi impak besar terhadap pemanasan global kenaikan suhu serta perubahan cuaca di Selangor khususnya dan Malaysia amnya di masa hadapan.

“Lantaran itu, kami mendesak kerajaan negeri segera mewartakan kembali status Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang telah dilucutkan status sebagai Hutan Simpan Kekal dalam warta kerajaan negeri pada 12 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette