Fotofit wajah salah seorang dari tiga suspek yang dikehendaki polis dalam kes samun pasangan e-hailing di Jalan Kuching Khamis minggu lalu yang mengakibatkan mangsa wanita dipotong tangan kanannya di Hospital Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis Sentul hari ini menyiarkan lakaran wajah atau fotofit seorang suspek yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, di sini, pada 26 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu tangan kanan mangsa wanita terpaksa dipotong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata, fotofit dipadankan oleh pegawai penyiasat kes itu berdasarkan keterangan yang diberikan oleh saksi semasa kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada jam 1 pagi Khamis lalu itu penjenayah dipercayai tiga lelaki Melayu bersenjatakan rantai motosikal melibas topi keledar mangsa serta menghimpit motosikal yang turut dinaiki teman wanitanya yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Kes disiasat dibawah seksyen 394 kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Lakaran wajah suspek kes samun penghantar makanan akan didedahkan

Hasil siasatan mendapati suspek menunggang sebuah motorsikal jenis Honda RS150 warna kelabu dan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha LC.

Akibat kejadian itu, mangsa lelaki telah mengalami kecederaan di muka dan di badannya manakala teman wanitanya yang terjatuh di atas jalan cedera di bahu kanan.

Pada 29 Ogos lalu, doktor telah memotong tangan kanan wanita bagi menyelamatkan nyawa mangsa.

Siasatan awal polis mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan telah melarikan motosikal milik mangsa dengan nombor pendaftaran VFU 814.- MalaysiaGazette