Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan produk baharu Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat menarik kepada para pendeposit.

Simpan SSPN Plus yang dilancarkan secara dalam talian itu merupakan kesinambungan daripada SSPN-i Plus yang ditambah baik dan berwajah baharu.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Simpan SSPN Plus merupakan simpanan pendidikan yang sangat kompetetif dan unik digabungkan bersama manfaat perlindungan takaful.

“Pelancaran Simpan SSPN Plus adalah tepat pada masanya dan juga selari dengan Pelan Strategik PTPTN untuk menguruskan dana simpanan secara efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik seperti mana yang digariskan dalam visi PTPTN.

“Produk ini juga merupakan landasan terbaik kepada masyarakat untuk terus menabung bagi tujuan pendidikan tinggi di samping menikmati lebih banyak keistimewaan dan manfaat yang disediakan,” katanya ketika pelancaran Simpan SSPN Plus secara maya menerusi Facebook rasmi PTPTN hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, produk terbaharu itu menawarkan lebih banyak pilihan kepada pendeposit hasil jalinan kerjasama strategik bersama tiga syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

Jelas beliau, enam pakej menarik yang mampu dimiliki oleh setiap isi rumah di negara ini turut ditawarkan.

Antara keistimewaan dan manfaat yang lebih menarik bakal dinikmati pendeposit adalah:

-Perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta
-Perlindungan penyakit terminal sehingga RM200,000
-Manfaat penghantaran balik jenazah sehingga RM10,000
-Rawatan pesakit luar akibat kemalangan sehingga RM3,000
-Perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun

“Simpan SSPN Plus mengekalkan pelbagai keistimewaan sedia ada kepada para pendeposit seperti dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, simpanan patuh syariah dan dijamin kerajaan.

“Lebih 690,000 akaun SSPN-i Plus sedia ada juga akan menikmati manfaat yang lebih menarik bersama produk baharu ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebagai bukti pemberian perkhidmatan yang terbaik dan mudah kepada pelanggan, PTPTN menyediakan kemudahan secara dalam talian untuk pembukaan dan penambahan Simpan SSPN Plus tanpa perlu hadir ke kaunter dengan melayari www.lovesspn.com.

Ahmad Dasuki berkata, bersempena pelancaran Simpan SSPN Plus, produk SSPN-i turut diberi sentuhan wajah baharu dari segi logo dan nama produk kepada Simpan SSPN Prime dengan mengekalkan keistimewaan dan manfaat sedia ada.

Ujarnya, pemerkasaan imej baharu produk simpanan PTPTN ini akan menjadikan produk SSPN-i Plus sedia ada akan dikenali sebagai Simpan SSPN Plus manakala SSPN-i sedia ada dikenali sebagai Simpan SSPN Prime.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PTPTN tampil dengan cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 yang menawarkan hadiah cukup menarik dan lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM320,000 menanti 221 pemenang.

“Hadiah utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus berupa Gold Bar bernilai RM150,000 manakala hadiah kedua berupa kereta Perodua Bezza 1.3AV kepada dua pemenang.

“Hadiah ketiga berupa perkakas dapur canggih (thermomix) kepada tiga pemenang dan hadiah saguhati berupa wang tunai bernilai RM221 menanti seramai 215 pemenang. Tempoh promosi bermula 1 September ini sehingga 31 Disember,” katanya. – MalaysiaGazette