Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis menahan sembilan individu termasuk dua penjawat awam yang menyertai parti liar di sebuah kondominium di sini dalam serbuan menerusi Ops Noda, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua mereka termasuk dua wanita berusia antara 20 dan 47 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada pukul 1.10 pagi.

Beliau berkata, kesemua mereka dikompaun dengan nilai keseluruhan RM18,000 di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, enam individu termasuk seorang wanita didapati positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine yang turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagaimanapun semasa serbuan dijalankan, polis tidak menemui sebarang jenis dadah di kondominium berkenaan yang disewa oleh salah seorang suspek yang ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama