Jagdeep (kanan) meninjau penutupan Pasar Awam Taman Bagan di sini, hari ini.

BUTTERWORTH – Sebanyak 26 premis yang terdiri daripada pasar awam, tapak penjaja sementara serta kompleks makanan di negeri ini ditutup atas faktor wujud jangkitan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, arahan penutupan sementara itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas mendapati peniaga, pelanggan serta pembantu pasar positif Covid-19.

Antara pasar awam yang ditutup adalah Pasar Awam Jalan Perak; Pasar Jelutong; Pasar Batu Lanchang; Pasar Bayan Baru; Pasar Padang Tembak.

Bagi kawasan di Seberang Perai pula, Pasar Awam Bagan Ajam; Pasar Bukit Mertajam; Pasar Taman Chai Leng; Pasar Mak Mandin; Pasar Seberang Jaya; Pasar Kepala Batas; Pasar Tasek Gelugor serta Pasar Taman Bagan.

“Daripada jumlah penutupan itu, sebanyak 15 membabitkan premis di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai manakala 11 lagi di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

“Setakat ini, Pasar Awam Batu Lanchang serta Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup secara berulang iaitu sebanyak dua kali,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Jagdeep serta Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud meninjau Pasar Awam Taman Bagan yang ditutup ekoran seorang peniaga positif Covid-19.

Pasar Awam Taman Bagan itu ditutup bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan kerja sanitasi dan disinfeksi dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, seramai 11,010 peniaga serta penjaja di negeri itu sudah divaksin menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK). – MalaysiaGazette