Antara pelapik skrin mesin ATM milik sebuah bank di Jalan Baru, Perai yang dirosakkan suspek pada Selasa lalu.

SEBERANG PERAI – Berang akibat tidak boleh mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai punca seorang lelaki bertindak memecahkan pelapik skrin tiga mesin ATM milik sebuah bank di Jalan Baru di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan sehari selepas kejadian di sekitar Perai.

Shafee.

Jelas beliau, suspek yang juga pekerja kilang itu turut mengaku memecahkan pelapik skrin tiga mesin ATM menggunakan topi keledar dan tong sampah dalam bank ekoran berang gagal mengeluarkan wang.

“Suspek juga mendakwa memerlukan wang ketika itu menyebabkan dia bertindak di luar kawalan.

Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada Selasa lalu.

“Suspek kini dalam tahanan reman akan didakwa di Mahkamah Bukit Mertajam Isnin ini mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, polis memburu seorang individu bagi membantu siasatan pecah pelapik skrin tiga mesin pengeluaran automatik (ATM) milik sebuah bank di Jalan Baru di sini.

Difahamkan kejadian berlaku di sebelah petang namun tidak diketahui pihak pengurusan bank susulan hari berkenaan adalah cuti umum, mereka tidak beroperasi.

Pemeriksaan pihak polis dan forensik di lokasi kejadian mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan seorang individu dan pelapik skrin tiga buah mesin ATM itu dipecah menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette