Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Olak Lempit, Banting. Foto HAFIZ SOHAIMI,04 SEPTEMBER 2021.

BANTING – Kira-kira 10,005 pekerja kilang berasaskan kayu dan perabot yang mengikut Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) dijangka selesai mendapatkan vaksinasi menjelang Isnin ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, setakat ini seramai 9,500 pekerja kilang telah menerima dua dos lengkap dan selebihnya akan divaksin selewat-lewatnya, dalam tempoh dua hari.

“PPVIN Olak Lempit ini telah diperuntukkan 10,005 dos vaksin kepada pekerja kilang kayu.

“Hari ini adalah dos terakhir dan hampir lengkap, lagi dua hari, esok dan Isnin iaitu hari terakhir ada lagi 1,500 penerima vaksin.

“Bagi hari ini sahaja ada seramai 650 pekerja kilang yang dibawa ke sini dengan menaiki bas,” katanya pada sidang media di PPVIN VACOMS Olak Lempit, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) memperuntukkan RM1.3 juta bagi membantu pekerja kilang dari sektor berasaskan kayu di Semenanjung Malaysia mendapatkan suntikan vaksin dengan kadar subsidi sebanyak RM30 bagi setiap tenaga kerja.

Setakat ini, sebanyak 207 syarikat berasaskan kayu dan perabot telah berdaftar untuk vaksinasi PPVIN VACOMS di Olak Lempit, di sini.

PPVIN VACOMS Olak Lempit mula beroperasi pada 28 Julai lalu dan dijangka berakhir pada 6 September ini.

Beliau juga berharap apabila selesai sahaja vaksinasi pekerja kilang ini, industri kayu negara dapat beroperasi sepenuhnya dan menghasilkan pendapatan untuk negara seiring dengan pelan ekonomi negara.

“KPPK menjadi satu kementerian yang akan memainkan peranan penting dalam memulihkan ekonomi dan hasil negara.

“MPIC merupakan penjana hasil ekonomi buat negara dan kita akan fokus kepada usaha-usaha pemasaran, peningkatan jualan dan kualiti produk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette