Idris Ahmad

BUKIT GANTANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan sama ada membenarkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang enggan divaksin mengajar secara bersemuka atau sebaliknya.

Menurut beliau, pihaknya juga akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum keputusan dibuat.

“Sepatutnya guru ini orang paling dekat dengan anak murid dan guru KAFA pun saya nasihatkan supaya ambil vaksin.

“Apa yang kita takut sangat soal vaksin ini? Setakat ini ramai orang yang mati kerana COVID-19 dan belum lagi disebabkan vaksin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Musa’adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata seramai 2,500 guru yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 akan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti, berikutan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas.

Sebelum itu, Radzi dilaporkan berkata, KPM menetapkan guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Okt ini.

Terdahulu, Idris berkata seramai 280 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Matang Gelugor, Matang dan Jebong menerima RM100 setiap seorang hari ini selepas mereka diberikan bakul makanan sebelum ini.

“Sumbangan ini bagi meringankan beban kepada mangsa banjir dan saya harap mereka bersabar,” katanya. – MalaysiaGazette