Gambar hiasan

KITA masih dalam suasana hangat menyambut merdeka kali ke-64. Dalam usia melangkaui jubli emas ini, kukuh atau rapuhnya ikatan bangsa Malaysia masih boleh dipertikaikan. Acap kali diperhatikan, pelbagai sentimen kaum dipermainkan atas kepentingan tertentu terutamanya dalam musim pilihan raya.

Jika sebelum era media baru, perseteruan boleh dicetuskan melalui tindakan lisan dan
fizikal dalam ruang sosial. Kini, permusuhan dicetuskan oleh ucapan benci di platform media sosial yang lebih cepat berjangkit dari satu kelompok ke kelompok yang lain.
Sebenarnya, kepelbagaian bangsa Malaysia adalah suatu aset yang sangat berharga.
Melalui kepelbagaian ini, titik lemah suatu individu dapat ditampung oleh kekuatan individu yang lain, begitu juga sebaliknya, asalkan dalam minda setiap individu ada semangat kekitaan dalam satu pasukan.

Dalam skala majmuk, aspek kelemahan suatu kaum dapat ditampung oleh kekuatan kaum lain, begitu juga sebaliknya, asalkan dalam minda setiap kaum itu ada semangat kekitaan dalam nuansa patriotisme. Dalam konteks seorang Muslim, meraikan kepelbagaian adalah suatu tuntutan sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Barangkali walaupun setelah lama merdeka, tahap dialog antara kaum dan agama di
Malaysia masih belum mendalam dan menyeluruh. Apakah itu dialog? Ramai orang
menyangka bahawa mereka sudah faham makna dialog. Namun, mereka sebenarnya cuma bercakap tanpa cuba mengenali, apatah lagi untuk cuba memahami atau menyelami perasaan.

Dialog yang sebenar adalah kunci untuk mengenali nilai, cara fikir, budaya, latar belakang
dan pengalaman seseorang yang lain. Dialog adalah jambatan penghubung bagi individu
yang mempunyai perbezaan, lebih daripada menjadi jambatan bagi individu yang
mempunyai persamaan. Dialog adalah suatu proses yang lebih banyak melibatkan aktiviti mendengar berbanding aktiviti bercakap.

Semasa proses dialog berlaku, seseorang manusia bercakap mengikut giliran untuk memberi peluang kepada rakannya menyampaikan perspektif atau berkongsi pengalaman dengan jelas. Sebelum proses dialog berlaku, barangkali terdapat prasangka berdasarkan stereotaip kelompok yang biasa didengar.

Sebagai contoh, berdasarkan apa yang diceritakan oleh keluarga kaum A yang mempunyai pengalaman buruk dengan kaum B, sikap kaum B adalah penipu. Maka stereotaip dan pukul rata yang berlaku ialah setiap individu daripada kalangan kaum B adalah dianggap penipu. Namun, semasa proses dialog berlaku, prejudis tersebut mampu diubah.

Dialog melibatkan proses soal jawab di mana kedua-dua pihak meminta penjelasan secara sopan tentang perkara yang dianggap tidak jelas. Prejudis yang selama ini ada dalam benak fikiran masing-masing diutarakan dengan jujur secara terbuka untuk mendapat maklum balas rakan dialog. Hasil keterbukaan dan kejujuran ini mewujudkan persefahaman yang lebih terhadap satu sama lain.

Isu perbincangan dalam proses dialog bermula dengan isu yang ringan dan luaran seperti
mengenali nama, asal, dan latar belakang ringkas masing-masing. Setiap manusia
mempunyai identiti yang berbeza dengan yang lain. Sedikit demi sedikit, isu lebih khusus
dan lebih berat dibincangkan.

Lebih kuat ikatan sesama rakan pendialog, lebih banyaklah isu yang berat yang boleh
ditinjau bersama. Ini bermakna dialog yang baik tidak berlaku dalam sekali pertemuan. Ia
melibatkan pertemuan yang berkala dalam jangka masa yang lama. Walaupun dialog sebagai alat kesatuan dilihat mudah – hanya sekadar bersembang secara jujur dan terbuka, namun realitinya dalam konteks Malaysia, masih banyak perkara yang
boleh dipersoalkan dan diperbaiki.

Ini adalah kerana hakikatnya, dialog memerlukan suatu ruang yang selamat sebelum suatu sesi ‘sembang’ atau perbualan mendalam tersebut dapat berlangsung.
Ruang selamat yang dimaksudkan ini ialah suatu ruang di mana individu yang terlibat dalam dialog berasa selesa, tidak bimbang sebarang implikasi terhadapnya termasuk kecaman atau cuak pada rahsia yang mungkin terbongkar kerana meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman dan menyatakan perspektif yang berlainan.

Hanya suasana dalam ruang selamat sebeginilah dialog yang berkesan dapat terhasil.
Dialog berkesan mampu merubah daripada rasa dingin, prejudis atau benci kepada rasa
simpati dan sayang. Perasaan-perasaan inilah yang membuatkan manusia akur pada hakikat tentang betapa pentingnya untuk saling bekerjasama dan saling menampung kelemahan yang lain dengan kekuatan yang kita miliki.

Sebagai kesimpulannya, dalam dunia yang penuh kebingitan dan kebencian, harus ada
insan yang mengambil langkah untuk mampu menghadiahkan senyuman, lalu menghulurkan salam perkenalan sambil berdiam dan mendengar. Usah biarkan tanggapan pertama manusia pada anda mendefinisikan dirinya buat selamanya. Agar masih ada ruang untuk empati dan mempertautkan kepelbagaian Bangsa Malaysia, marilah kita semarakkan dialog biar di mana pun keberadaan kita.

Dr Alwani Ghazali
Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya,
merangkap Timbalan Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya.

Kredit: Huraian konsep dialog dalam artikel ini adalah berdasarkan latihan dialog yang
sedang diikuti penulis di Belgrade, Serbia anjuran King Abdullah Abdulaziz International
Centre for Interreligious and Intercultural Dialogue (KAICIID), Vienna.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast